Categories
Motivasi & Inspirasi

5 CARA MENGHARGAI DIRI SENDIRI

Adakah setiap kali melihat cermin, anda tidak suka melihat diri sendiri? Anda sedih dan berasa diri tidak cukup sempurna?Percayalah, anda tidak bersendirian.

Adakah setiap kali melihat cermin, anda tidak suka melihat diri sendiri? 

Anda sedih dan berasa diri tidak cukup sempurna?

Percayalah, anda tidak bersendirian. 

Sebenarnya ramai di kalangan kita yang selalu merungut dan mengeluh, ada banyak perkara yang mengundang rasa tidak puas hati.

Contohnya, ada yang rimas dengan bentuk badan sendiri. Ada yang berasa murung dengan jumlah gaji bulanan.

Malah, ada juga yang tidak selesa dengan kereta atau rumah yang dimiliki sekarang.

Jangan khuatir, anda ada jalan keluar. Saya sediakan LIMA cara mudah untuk anda belajar menghargai diri sendiri.

Senyum dan Ucapkan Syukur Setiap Pagi

Ubah rutin anda setiap hari.

Setiap pagi sebelum mulakan aktiviti harian, bercakaplah di hadapan cermin betapa bersyukurnya anda dengan segala yang ada di sekeliling.

Ukirkan senyuman yang paling manis.

Ucapkanlah dengan nada penuh yakin dan bersemangat, “Syukur… saya rasa bahagia! Hari ini pasti lebih indah! Saya akan buat yang terbaik dan beri manfaat kepada ramai orang.” 

Percayalah. Apabila anda sayangkan diri, anda akan rasa sangat bertuah dan mampu menyedut semua aura positif yang ada.

Cipta Hobi dan Aktiviti Baru

Hobi adalah kegiatan yang kita sukai.

Kita akan rasa senang hati dan senyum sampai ke telinga ketika menikmatinya.

Jika dahulu anda suka melukis dan mewarna, inilah masa yang terbaik untuk anda melakukannya semula. 

Terus terjah ke kedai buku, belilah peralatan yang sesuai dan mulakan sahaja!

Selain itu, apa kata anda cuba berjalan kaki di sekitar kawasan perumahan apabila pulang dari tempat kerja?

Kosongkan minda sambil cuci mata melihat pemandangan. Sekurang-kurangnya anda sudah membuat sesuatu yang baru untuk hari itu.

Pada masa hadapan, apabila ada kelapangan anda mungkin boleh pergi ke taman rekreasi pula.

Tidak mengapa untuk permulaan ini anda hanya berjalan sahaja. Lama kelamaan, ia akan menjadi aktiviti tetap pada setiap hujung minggu.

Berjalan kaki beratus-ratus tapak mesti keluarkan peluh, kan?

Secara tak langsung, tubuh dan otak menjadi lebih cergas.

Berhenti Fikir Perkara Negatif

Bagaimana mahu berhenti memikirkan perkara yang negatif?

Anda boleh mulakan dengan sekecil-kecil perkara.

Contohnya, setiap hari sebelum keluar bekerja kita sudah bayangkan jalan raya yang sesak atau raut wajah boss yang garang.

Oh, itu pastinya membuatkan dahi anda tambah berkerut!

Mari ubah dan ikhtiarkan sesuatu yang lebih baik, seperti berusaha untuk mengelakkan kesesakan jalan raya.

Mungkin anda perlu keluar satu jam lebih awal dan jangan singgah ke mana-mana.

Jika tidak suka boss marah, ubahlah cara anda mengurus waktu agar lebih produktif. 

Sekadar mencadangkan memang mudah.

Namun, adalah penting untuk anda tukar corak berfikir.

Sebut perkara yang baik-baik dan sentiasa bersikap positif dalam apa jua situasi.

Semua bayangan itu umpama doa yang di hujungnya pasti akan mendatangkan seribu kebaikan.

Luangkan Sedikit Masa Manjakan Diri Sendiri

Me time! Tugasan seharian membuatkan kita ada banyak kekangan masa untuk memanjakan diri.

Jangan kata mahu bersauna, potong kuku pun hampir terlupa.

Setiap malam pulang dari kerja, anda terus terbaring dan berdengkur sekelip mata.

Mungkin disebabkan badan anda terlalu kepenatan.

Sebenarnya, rutin kecil juga mampu membuat anda rasa lebih segar dan gembira.

Anda boleh mulakan dengan aktiviti mudah seperti melakukan facial.

Cuci muka dengan bersih, pakai penyegar dan mask.

Hanya beberapa minit sahaja dan anda sudah bersedia untuk tidur dengan lebih tenang.

Jika anda sukakan bau-bauan, penggunaan lilin aromaterapi juga bagus bagi menghidupkan suasana harmoni di dalam bilik.

Ada banyak pilihan lilin yang terjual di pasaran, harganya pun murah dan tahan lama. 

Membina Hubungan Sosial 

Anda bosan dengan rutin seharian? 

Anda jemu melalui rutin yang sama pada setiap hujung minggu? 

Inilah masa yang tepat untuk berubah.

Peruntukkan sejumlah wang untuk anda bersosial bersama teman-teman rapat.

Jika selama ini asyik berbalas mesej di media sosial, anda pasti teruja dapat bertentang mata dan bertukar cerita.

Suri rumah juga boleh melakukan aktiviti ini.

Anjurkanlah potluck bersama sahabat di sekitar kediaman anda. Masing-masing boleh membawa juadah serba sedikit.

Anda boleh menjamu selera sambil berbual mesra dan berkongsi pelbagai tip wanita berkeluarga. 

Oh ya… pilihlah lokasi yang sesuai, supaya anak-anak juga boleh santai bermain di kawasan yang sama.

Wah, baru merancang saja sudah terasa seronok!

Dalam kehidupan ini, anda berhak berasa bahagia dan disayangi.

Hadapi apa saja ujian dengan senyuman.

Jangan biarkan diri anda diselubungi kesedihan, terus mara ke hadapan dan jadilah wanita yang matanya sentiasa bercahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *