Categories
Gaya Hidup

5 TIP MERANCANG PERCUTIAN

Kali ini, saya mahu berkongsi beberapa tip penting supaya percutian anda menyeronokkan.

Setiap orang tentu ada keinginan untuk pergi bercuti dan meninggalkan rutin seharian buat seketika. Bukannya apa, tubuh dan minda perlukan rehat juga.

Bercuti sememangnya satu alternatif yang bagus untuk recharge tenaga anda. 

Percutian tidak terhad hanya di dalam negara.

Mereka yang berkemampuan, biasanya lebih suka pergi bercuti ke luar negara bagi merasai perbezaan iklim, budaya, keindahan alam semulajadi dan kecanggihan teknologi.

Bercuti bukan saja merapatkan hubungan, tetapi juga mencipta memori manis bersama. 

Kali ini, saya mahu berkongsi beberapa tip penting supaya percutian anda menyeronokkan.

1) Rancang Tempat Bercuti 

Senaraikan beberapa destinasi pilihan.

Sama ada anda mahu bercuti di kawasan pulau, pergunungan, tempat-tempat bersejarah atau di mana saja. Ia bergantung pada tujuan utama percutian anda. 

Adakah anda mahu lari daripada kesibukan kota, menikmati makanan tradisonal atau menyelam ke dasar lautan?

Sudah tahu tujuan, maka pilihlah tempat percutian yang sesuai dengan bajet anda.

Bukan semua tempat menyediakan pakej percutian yang murah. Di laman web dan blog percutian ada banyak tawaran dan maklumat yang dipaparkan.

Anda hanya perlu rajinkan diri membuat tinjauan dan bandingkan harga terbaik.

Melainkan anda mampu bercuti setiap bulan, rancanglah percutian anda sebaiknya.

Bertenang, dan jangan buat keputusan terburu-buru.

Pastikan lokasi yang dipilih berbaloi untuk dikunjungi supaya percutian anda tidak menjadi sia-sia dan membazir.

2) Menabung 

Siapa yang suka menabung pasti beruntung. Mahu lebih baik, sediakan tabungan khusus untuk percutian idaman. 

Adakah sukar untuk menabung?

Sebenarnya, tidak kira berstatus bujang atau sudah berkahwin, semua orang mampu memiliki simpanan sendiri.

Sebaiknya anda bahagikan duit untuk tabung bercuti pada hari terima gaji, senang cerita!

Biarkan saja tabungan tu, jeling pun tak perlu.

Kurangkan makan di gerai atau restoran. Bawa bekal dari rumah. Ia lebih menjimatkan dan bersih.

Sebagai contoh, asingkan RM10 setiap hari dan sebulan anda berjaya menyimpan hampir RM300. Tahniah kepada diri anda! 

Ingat, anda mesti beri komitmen dan berdisiplin ketika menabung.

Jika anda seorang suri rumah tangga sepenuh masa, gunakan duit dapur dengan berhemah. Perlu bijak mengatur menu makan seharian.

Masak cukup-cukup untuk semua ahli keluarga.

Selain tidak membazir makanan, penggunaan duit juga dapat dijimatkan. Apalagi, duit yang berlebih itu bolehlah dimasukkan ke dalam tabung percutian.

3) Perbelanjaan Percutian

Rancang perbelanjaan percutian anda. Cari maklumat tentang setiap tempat yang ingin dilawati.

Ambil tahu jika ada tempat percutian yang mengenakan bayaran tertentu bagi sebarang aktiviti serta sewaan peralatan.

Kenal pasti kenderaan yang ingin digunakan kerana ia juga termasuk dalam kos perbelanjaan.

Jika anda selesa tidur di hotel, boleh rujuk perkhidmatan daripada Agoda, Trip Advisor, Asianrooms.com, Trivago atau Groupon untuk mendapatkan bilik hotel yang sesuai dengan bajet anda.

Mungkin ada yang lebih suka suasana di rumah penginapan, anda boleh buat carian di FB Homestay Malaysia bagi mendapatkan pelbagai info lanjut.

Terkini, ada banyak syarikat aplikasi yang bekerjasama dengan hotel, restoran serta destinasi pelancongan yang lain, contohnya Klook dan Fave.

Install saja aplikasi ini ke dalam telefon dan mulalah skrol keistimewaan harga diskaun yang ditawarkan.

Berbelanjalah secara realistik demi detik percutian yang menceriakan.

4) Rancang Waktu Bercuti

Bercuti ketika musim perayaan atau cuti sekolah?

Harga tempat penginapan dan bayaran tiket lawatan meningkat, kesesakan di sekeliling anda.

Paling menguji kesabaran, anda perlu beratur lebih setengah jam untuk aktiviti yang mungkin setakat 10 minit saja.

Contohnya, permainan kuda pusing di taman tema.

Ya. Anda tentu tak mahu menempuhi semua itu.

Kepenatan anda akan bertambah 3 kali ganda. Itu sebabnya anda perlu merancang waktu percutian. 

Jika anda pergi bercuti pada hujung minggu, elakkan tarikh awal bulan.

Itu waktu popular kerana ramai orang suka berjalan-jalan ketika duit berkepuk dalam bank dan poket.

Selain itu, faktor cuaca turut mempengaruhi.

Bagaimana anda dapat menunggang kuda jika tempoh lawatan dilakukan pada musim hujan?

Bercuti ke luar negara ketika musim sejuk, adalah penting untuk anda bersiap sedia dengan persalinan baju tebal dan berlapis-lapis. 

Namun, tak semua orang bekerja ada kelebihan untuk memohon cuti pada tarikh yang selesa.

Apatah lagi mereka yang sudah ada ramai anak bersekolah. Mahu atau tak, terpaksa juga akur dengan sistem cuti-cuti di Malaysia ini. 

Apa pun, berusahalah cari masa yang sesuai supaya percutian anda lebih bermakna.

5) Rancang Jadual Perjalanan 

Mungkin ramai yang tak sedar dan sering terlupa kepentingan mengatur jadual perjalanan. 

Jika anda pergi bercuti ke luar negara, adalah lebih mudah menggunakan servis ejen pelancongan.

Mereka lebih mahir dan berpengalaman menguruskan trip-trip percutian.

Anda tidak perlu pening kepala tercari-cari lokasi hotel sambil merenung peta di tangan.  

Hanya sediakan sejumlah wang dan bergembiralah sebagai pelancong.

Tidak dinafikan ada yang suka ambil risiko, main redah saja tempat yang ingin dikunjungi.

Memang seronok dan mencabar!

Tetapi, silap-silap nanti masa anda banyak dihabiskan di dalam bilik hotel, akibat sesat mencari lokasi yang entah di mana.

Boleh dibuat, hanya pastikan anda sudah kaji dan rancang jadual perjalanan baik-baik.

Ia akan membuatkan masa percutian anda lebih bermanfaat dan mempunyai fokus.  

Jika anda memandu, jangan lupa untuk berhenti dan berehat.

Minumlah secawan kopi panas untuk segarkan mata. Selamat bercuti dan bergembira!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *