Categories
Motivasi & Inspirasi

5 TOKOH WANITA KESAYANGAN RAKYAT MALAYSIA DAN SIKAP MEREKA YANG BOLEH ANDA CONTOHI .

Kejayaan mereka menjadi sumber inspirasi masyarakat dan mempunyai pengaruh besar dari pelbagai aspek kehidupan, khususnya wanita lain.

Ada ramai wanita hebat di Malaysia. 

Ada tokoh politik, selebriti, golongan ilmuwan dan usahawan berjaya. 

Kejayaan mereka menjadi sumber inspirasi masyarakat dan mempunyai pengaruh besar dari pelbagai aspek kehidupan, khususnya wanita lain. 

Umumnya, berikut adalah antara ciri-ciri dan keperibadian yang dapat dilihat pada tokoh-tokoh wanita di Malaysia.

Tidak hairanlah ramai pengikut menjadikan mereka sebagai idola.

  • Lemah Lembut

Mereka mengekalkan kesopanan ketika berbicara dan bergaul. Tidak berlebih-lebih dan bersederhana.

Sifat keibuan yang menonjol sesuai benar dijadikan contoh tauladan.

Bukankah tutur kata lembut dan tingkah yang sopan adalah lambang kekuatan peribadi? 

  • Rendah Hati

Walaupun berkedudukan tinggi dalam masyarakat, sikap down to earth sangat terserlah dan kerana itu mereka disenangi.

Senyuman sentiasa diukir tidak kira dalam apa jua keadaan dan itu jelas memperlihatkan karakter mereka yang tenang dan positif.

  • Mengutamakan Keluarga

Kesibukan mengharungi rutin harian sebagai pemimpin, orang bisnes atau public figure tidak membataskan mereka memenuhi keperluan masa bersama ahli keluarga. 

Makan dan beriadah bersama tetap dijadikan acara penting untuk menghargai insan-insan istimewa yang menjadi tulang belakang dalam kehidupan mereka.

  • Menjaga Ketrampilan

Cara mereka berpakaian di setiap acara keramaian memang dinanti-nantikan.

Semua teruja melihat imej elegan dan sopan yang digayakan dan tak perlu tunggu lama, terus sahaja menjadi trend.

Anak-anak muda juga ramai yang terikut menukar penampilan!

  • Bekerja Keras dan Bersemangat Waja

Mereka konsisten dalam memajukan diri. 

Tidak jemu berusaha dan juga tidak cepat berpuas hati dengan pencapaian yang ada.

Secara tidak langsung, kita turut termotivasi untuk mempunyai sikap yang sama.

Siapa tokoh-tokoh ini?

Saya kongsikan 5 tokoh wanita kesayangan rakyat Malaysia yang boleh anda contohi:

1. Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

Baginda Raja Permaisuri Agong yang ke-16 dan Tengku Ampuan Pahang yang ke-5 ini dilahirkan di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru.

Baginda ialah permaisuri kepada Sultan Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah.

Tunku Azizah juga terkenal dengan minatnya yang mendalam terhadap bidang masakan.

Baginda ada dua buah buku resepi sendiri iaitu “Air Tangan Tengku Puan Pahang – Masakan Tradisional Pahang” dan Air Tangan Tengku Puan Pahang – Manisan Tradisional Pahang.” 

Baginda mencemar duli menjelajah setiap pelusuk daerah negeri Pahang untuk menghasilkan kompilasi resepi tradisi tersebut.

Baginda sama sekali tidak kekok memasak untuk mangsa banjir di Pahang dan ia menjadi antara penyebab baginda sentiasa dekat di hati rakyat.

Tunku Azizah juga diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Ikon Kraf 2019 oleh Majlis Kraf Dunia (WCC) atas sumbangan baginda yang aktif mempromosi kraf tradisional.

Baginda begitu sinonim dengan tenunan Pahang dan pengiktirafan terhadap baginda memberi dorongan kepada industri kraf negara untuk terus berkembang.

2. Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali

Tun Dr. Siti Hasmah dilahirkan di Klang, Selangor. Beliau ialah seorang doktor dan memperoleh MBBS dari Universiti Malaya di Singapura.

Beliau adalah isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tun Siti Hasmah kekal diminati dan disayangi ramai rakyat Malaysia atas sikapnya yang langsung tidak mencampuri kerja-kerja suaminya sebagai pemimpin.

Sikap ini menyebabkan beliau terus dihormati. Beliau menggemari bidang muzik dan masih aktif bermain biola.

Sebagai doktor, beliau banyak menyumbang dalam bidang kesihatan awam.

Kedudukan beliau sebagai isteri Perdana Menteri telah dimanfaatkan sepenuhnya tanpa penat lelah untuk kesihatan wanita dan kanak-kanak, perancangan keluarga, kawalan penyalahgunaan dadah dan juga kesihatan mental.

Khidmat bakti dan sumbangan beliau dalam perkhidmatan awam telah mendapat banyak pujian dan penghargaan di dalam dan luar negara. 

Penganugerahan tokoh ‘Ibu Negara’ kepadanya juga bertepatan dengan peranan Tun Siti Hasmah sebagai wanita yang berjaya menggunakan kepakaran dan pengetahuan yang dimiliki untuk pembangunan masyarakat dan tanah air.

3. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail

Dr. Wan Azizah membesar di Kedah. Beliau ialah graduan pengajian perubatan di Royal College of Surgeon, Ireland. 

Beliau juga merupakan pelajar terbaik di kolej tersebut pada tahun 1977.

Dr. Wan Azizah pulang selepas tamat pengajian dan berkhidmat sebagai doktor pakar oftalmologi (berkaitan mata).

Beliau menamatkan kerjaya sebagai doktor perubatan apabila suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Beliau dikenali sebagai pejuang dalam reformasi yang menuntut keadilan buat suaminya yang dipecat dan ditahan.

Sejak itu, beliau aktif dalam politik sebagai pemimpin Parti Keadilan Nasional (kini Parti Keadilan Rakyat).

Beliau seorang ahli politik yang disegani sehinggalah terpilih menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Pemimpin nombor dua negara adalah besar dan amat membanggakan apabila beliau menjadi wanita pertama yang mengemudinya.

4. Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin

Pesona Datuk Seri Siti Nurhaliza masih bertahan sejak beliau menceburi bidang hiburan seawal usia 16 tahun.

Beliau berasal dari Temerloh, Pahang.

Kerjaya penyanyi nombor satu negara ini bermula setelah menjadi juara Bintang HMI anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1995.

Sehingga kini, hampir 300 anugerah dan penghargaan yang diterima menjadikan beliau artis yang paling berjaya di rantau Asia. 

Kejayaan konsert siri yang pernah diadakan, puluhan album yang mencatat jualan tertinggi juga undangan persembahan beliau tidak terkira banyaknya.

Kukuhnya kedudukan beliau di persada industri muzik memang tidak dapat dinafikan.

Kemudian pada 2009 beliau mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dan menjadi pengasas produk kecantikan dan kosmetik SimplySiti. 

Pada 2016 Datuk Seri Siti Nurhaliza memperluaskan empayar perniagaannya dengan membina jenama Creacion by Siti Nurhaliza.

Beliau menghasilkan koleksi pakaian berdasarkan ideanya sendiri.

5. Noor Neelofa Mohd Noor

Mewakili golongan wanita muda berjaya, Neelofa ialah pelakon, model, pengacara, duta dan ahli perniagaan yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Neelofa mengeluarkan jenama tudung iaitu Naelofar Hijab. Ia berjaya menembusi pasaran peringkat antarabangsa dan terdapat di 37 buah negara. 

Beliau turut mencipta sejarah kerana dilantik menjadi duta berhijab pertama untuk jenama kosmetik terkenal Lancome

Selain itu, figura ini turut menjadi artis Malaysia pertama dipilih sebagai duta perhiasan aksesori mewah Swarovski

Pencapaian usahawan ini dalam perniagaan turut tersenarai di Majalah Forbes sebanyak tiga kali bagi kategori 30 Under 30 – Asia – Retail & Ecommerce, 30 Under 30 – Asia – Celebrities, 30 Under 30 – Asia – Pioneer Women.

Hebat, kan?

Semua itu tidak dicapai dalam sehari. Mereka bekerja keras tanpa mengenal penat dan jemu.

Mari ambil sikap yang baik dan terapkan dalam kehidupan kita sehari-hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *