Categories
Parenting

7 AKTIVITI HUJUNG MINGGU BERSAMA ANAK-ANAK DI RUMAH (PART 1)

Apa kata kali ini kita berfikir lebih kreatif bagi menghiburkan si kecil. Mari saya bantu anda dengan 7 cadangan aktiviti yang boleh dilakukan di rumah.

Mutakhir ini, semua orang berasa gusar dengan serangan wabak Novel Coronavirus (COVID-19) yang semakin ganas. Laporan akhbar dan hebahan di internet semakin banyak. 

Mujur, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telus dan cekap dalam memberi laporan harian.

Maka, kita boleh mendapat maklumat tepat daripada sumber sahih dan berautoriti.

Peningkatan jumlah kes akibat virus COVID-19 memberi impak kepada kehidupan seharian.

Kita dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di kawasan tumpuan orang ramai bagi mengelakkan risiko dijangkiti.

Ibu-ibu pasti terfikir, apa pula cara untuk menghabiskan waktu hujung minggu, “Ah, bagaimana mahu meluangkan masa cuti bersama anak-anak?

Biasanya kami berhibur di pusat membeli-belah, tentu mereka bosan jika hanya duduk di rumah.”

Ini peluang baik untuk anda tukar mindset.

Berhenti beranggapan pergi bercuti atau dengan membelikan permainan yang hebat sahaja boleh membuatkan anak gembira. 

Apa kata kali ini kita berfikir lebih kreatif bagi menghiburkan si kecil.

Mari saya bantu anda dengan 7 cadangan aktiviti yang boleh dilakukan di rumah. 

1. Memasak 

Anda boleh buat carian Google untuk mencari resepi mudah yang boleh dilakukan oleh anak mengikut peringkat umur.

Contohnya, membuat sandwich atau cupcakes

Tak kisahlah ibu, ayah ataupun anak-anak, semua sekali perlu melibatkan diri dari awal hingga proses akhir.

Bermula daripada aspek memilih resepi, membeli bahan dan proses memasak. Anda hanya perlu bahagikan peranannya mengikut usia.

Ini juga aktiviti yang bagus bagi merangsang skil dan daya fikir anak-anak.

Mereka akan banyak berfikir sewaktu memasak dan waktu nak letak hiasan pada kek cawan, keluarlah segala kreativiti yang selama ini disimpan. 

Akhir sekali hidangkan dan makan bersama. Tentu mereka teruja menikmati hasil air tangan sendiri!

Anak-anak akan puas hati dan anda gembira melihat perkembangan mereka.

Hanya anda kena bertabah kemas dapur selepas itu.

Oh ya, anda boleh juga bahagikan tanggungjawab mengemas ini dan buat bersama-sama. 

2. Melukis dan Mewarna

Anak-anak suka melukis dan mewarna. Jangan kata anak, kita yang dewasa pun sama juga.

Inilah aktiviti yang paling mudah dan menyeronokkan.

Sebab itu ada buku mewarna untuk orang dewasa dan harganya pun, wow!

Tak perlu belanja besar. Cukup dengan anda ambil kertas kosong dan ajarkan anak melukis haiwan, bunga atau gambar ahli keluarga. 

Jika kita tidak mahir melukis, buka sahaja You Tube.

Di situ ada banyak video yang mengajar teknik melukis dengan mudah. 

Sudah siap melukis, kita beralih ke sesi mewarna pula.

Hasil lukisan, anda boleh disimpan di dalam fail sebagai kenangan.

Selepas suatu tempoh, anda akan tersenyum apabila membelek semula isi fail ini.

3. Membasuh Kenderaan 

It’s wet and sweat time! 

Anak suka main air? Tipu kalau jawapan anda tidak.

Selalunya aktiviti ini akan sangat mendapat kerjasama anak-anak.

Tugas anda, sediakan peralatan asas seperti baldi, berus, span dan sabun. 

Beri anak-anak kain dan baldi kecil setiap seorang. Semua orang berpeluang mencuci dan membersihkan bahagian masing-masing.

Pasti seronok, apabila sama-sama basah dan berpuas hati melihat kenderaan bersih bersinar!

4. Bermain Indoor Games

Ada beberapa permainan klasik seperti Saidina, UNO, Sahibba dan Chess yang boleh kita cuba.

Jika anak masih kecil, kita boleh bermain lego, bola, tanah liat atau anak patung. 

Hanya jika ada bayi yang suka masukkan barang ke dalam mulut, elakkan bermain lego yang saiznya terlalu kecil.

Percayalah, suasana riang akan terbina apbila kita duduk dan berlakon seolah-olah kita kawan seusia mereka.

5. Susun dan Kemas Barang Mainan 

Ini pun sejenis aktiviti juga. Jika selalunya semua mainan dilonggokkan sekali, kali ini kita ajak anak susun mainannya mengikut kategori.

Ada kumpulan mainan seperti anak patung, bola, juga alat permainan elektronik. 

Setelah diasingkan, masukkan ke dalam bekas atau tong yang sesuai dan labelkan. 

Secara tidak langsung, kita boleh kenal pasti adakah masih perlukan semua peralatan tersebut atau boleh sedekahkan atau jual kepada orang lain.

Pada masa yang sama, anda juga ajar anak cara untuk mengemas permainan mereka.

6. Menonton Filem 

Malam tidak bermakna anak akan habis tenaga. Bagaimana mahu tenangkan mereka dan buat aktiviti bersama?

Salah satu pilihan yang ada, menonton filem beramai-ramai. 

Kita biarkan anak memilih satu cerita yang sesuai dan apa lagi, kita turut teroka masuk ke dalam dunia mereka.

Tentu ada babak yang membuat kita  ketawa, cemas dan sedih.

Nikmati sahaja sambil-sambil mendengar ulasan si kecil. Tentu meriah!

7. Membaca Buku 

Satu lagi aktiviti yang penting dalam perkembangan anak-anak, membaca!

Jika ada ramai anak, anda cadangkan mereka ambil buku setiap seorang, baca dan adakan pertandingan bercerita. 

Jika ada anak yang masih belum pandai membaca, buku bergambar akan sangat membantu.

Galakkan mereka bercerita berdasarkan gambar.

Di  mana hendak dapatkan buku cerita?

Rajin-rajinkan ikuti perkembangan Big Bad Wolf dan pesta buku negeri ataupun Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sediakan tabung khusus, ambil cuti dan pilih sendiri buku untuk anak-anak anda. Tak sempat? Cari sahaja personal shopper. 

Apa kata anda?

7 aktiviti ini tidak perlu wang yang banyak dan tidak juga mengambil masa yang lama.

Cuma kita perlu buat sedikit perancangan dan sediakan peralatan yang sesuai mengikut kegiatan yang dipilih.

Ahli keluarga adalah tanggungjawab kita.

Penting untuk kita peruntukkan sedikit usaha dan masa untuk mereka agar hubungan kekeluargaan bertambah erat.

Apa yang utama, momen berharga itu akan menjadi kenangan indah zaman kanak-kanak.

Kita sebagai ibu juga akan lebih tenang dan bahagia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *